Followers

Saturday, May 21, 2016

Catitan untuk seorang Ibtisam


اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ


Dia seorang gadis diberi nama Ibtisam. Ibtisam yang membawa maksud senyuman. Tipulah kalau kata dia hanya tersenyum 24/7. Dia juga seorang manusia, ada turun naiknya. Tapi aku mampu katakan, hanya dengan memandangnya mampu buat aku tersenyum. Salah seorang insan yang aku pandang tinggi. Aku masih ingat, saat kami berenam solat maghrib berjemaah, dia sebagai imam. Saat dia mengalunkan surah Ar-Rahman, lancar dan damai bila mendengarnya. Surah kegemaranku. 

Dahulu, aku cemburu. Aku cemburu bagaimana dia jauh lebih baik dariku, dalam diam aku cuba menapak, menapak rapat di belakang dia. Cuba menggapai dia. 


Kad yang aku beri sebelum menapak pergi menaiki kapal terbang itu hanya kecil. Kecil yang tak cukup ruangnya untuk aku coretkan semua kata-kata yang terbuku. Betapa aku berterima kasih, pada seorang Ibtisam kerana melayani perangaiku yang pelik tidak bertempat. Yang tiba-tiba menari tanpa kira masa. Yang tiba-tiba datang membuli tak kira tempat. Yang tiba-tiba datang memeluk tanpa kata. 

Walaupun lirik lagu yang dia alunkan selalu sahaja salah, tapi sebenarnya itu periang hati. Walaupun melodi yang diutarakan bertukar dari balada ke rentak tradisional, tapi sebenarnya itu yang menghibur jiwa. 

Aku pandang dia sebagai seorang yang kuat bekerja. Rajin belajar. Aku tabik pada dia yang sering bermalam di kampus untuk mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan projek-projek seorang senior dalam Kejuruteraan Elektrik. 


Aku suka buli dia. Tidak, bukan buli yang teruk. Suka buli sebab dia jenis yang menerima. Aku panggil dia bayi. Kadang-kadang aku pula dipanggil bayi, tak tahu mana relevannya.

Seorang yang pandai memasak dan rajin di dapur. Air tangannya sedap. Sumpah tak tipu, aku rindu. Rindu nak bermanja dengan seorang Ibtisam. Rindu nak membuli, rindu nak bergelak tawa bila dia mula menyanyi. Rindu nak mengusik bila keluar lawak 'lame' dia. Aku suka melihat dia menjamah makanan. Semangat. Nampak berselera. Kadang tu aku sendiri tak sedar yang aku perhatikan dia makan. Maaf, aku bukan stalker mahupan orang gila. Cuma aku kagum, kagum dengan kesungguhan yang dipamerkan, yang turut sama buat perutku berkeroncong.

Tahukah kau, wahai Ibtisam, kau salah seorang idola ku. Idola yang dekat denganku. Idola yang bakal aku rindu selalu. Mungkin aku tak pandai menghias kata. Mungkin masih ada yang berbuku dalam kalbu yang tak dapat aku luahkan dan coretkan dengan kata-kata. Tapi ketahuilah kau, aku bersyukur, Allah kurniakan aku seorang insan bernama Ibtisam yang sentiasa ada di sisi sepanjang tiga tahun lepas. Aku harapkan kita akan sentiasa di sisi masing-masing buat tahun-tahun yang mendatang. Sekurang-kurangnya sentiasa mendoakan satu sama lain. Aku bersyukur kerana kau ada di sisi walaupun aku tahu mungkin ada masa aku belakangkan kau, ada masa aku terlebih bergurau kasar, ada masa aku sakitkan hati kau, ada masa aku sembunyikan beberapa perkara dari kau. 

Moga Allah sentiasa memberkati kau, wahai Ibtisam. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan kurniaNya. Semoga Allah pertemukan pasangan yang terbaik untukmu, yang boleh membimbingmu menjadi seorang hamba yang beriman serta anak, isteri dan insyaAllah ibu yang solehah kelak. Ketahuilah, aku akan sentiasa mendoakan kau. Sungguh, aku menyayangi kau.

Nota kaki: pertama kali ni guna kau aku dengan insan bernama Ibtisam. huhu. Tak. Ini bukan marah.

No comments: