اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ
Ada sesuatu yang terbuku di hati, sukar untuk ditafsir. Sebak tapi sukar untuk ditangisi. Sebak hingga dada rasa sesak. Bila dilepaskan rasa tak terkeluar. Buku yang satu itu ditarik rapat ke dada. Dipegang erat, seolah tak akan dilepaskan. Mata terus dipejamkan. Rapat. Genggaman ni makin erat. Esakan sayup-sayup ditangkap oleh peluput telinga. Tubuh mula menggeletar, dek menahan rasa di hati.
Cecair itu mengalir, laju. Tanpa segan silu. Kata-kata tak terungkap. Tak terkeluar patah-patah perkataan dari bibir. Doa dipanjatkan pada Dia yang satu. Yang sentiasa setia di sisi. Hanya hati yang bisa berbicara, sesungguhnya Dia tahu apa yang tersirat di hati hati hamba-hambaNya. Tangisan itu sendiri merupakan satu doa bukan? Biarlah Dia sahaja yang tahu, yang faham, apa yang dirasai.
Garisan lutsinar itu sebenarnya jelas, jelas terlukis disekeliling diri. Ada hal yang disimpan rapi dalam hati, dan tak siapa ketahui setakat ini. Disimpan kemas dalam rak nun jauh dalam lubuk hati. Garisan lutsinar itu menandakan, tak siapa boleh melepasi garisan tu. Nampak mudah didekati tapi ada batasan yang harus di ikuti, tanpa ramai sedari hakikat yang satu itu.
Gaya penulisan mungkin tampak berbunga, berukir. Tapi isinya jelas. Itu pasti. Bagi empunya diri. Senyum yang terukir sekadar topeng, untuk mengaburi mata si pelihat. Tawa sekadar hiasan supaya tak terkesan si pendengar. Tangis terhenti, sebak masih di situ kekal di situ. Tak terkurang sedikit pun. Suara mengalunkan ayat-ayat suci. Bergetar, penangan menahan rasa yang terbuku. Tenang. Sikit. Hati masih begitu.
Ada satu benda yang sepatutnya dilakukan. Tapi sehingga ke saat ini, benda itu selalu ditangguh. Kekangan. Salah diri sendiri, tak berusaha. Yang pasti, Benda itu harus disempurnakan. Sekurang-kurangnya, diri tahu, ada sesuatu yang diusahakan. Sekurang-kurangnya diri tahu, jarak ini tak terlalu jauh, tak mustahil untuk dicapai. Kalau diusahakan. InsyaAllah.