اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ
Kaki ini terpacak betul-betul berhadapan dengan potret lukisan di galeri. Kagum. Kagum dengan kecantikan, kekreatifan lukisan. LUKISAN. Kemudian, hati ini terdetik. Apa yang hebat sangat tentang lukisan ni? Bukannya lukisan ni yang lukis diri dia sendiri, sedangkan pelukis yang melukis lukisan itu. Tapi kenapa hati ini kagum dengan lukisan? Memuji lukisan dan bukannya pelukis?
Tika bas mula beransur pulang dari pekarangan galeri, mata ini disajikan dengan satu lagi lukisan yang cukup indah. Subhanallah. Lukisan yang sangat luas. Terbentang gah di depan mata. Tiada hentinya. Sepanjang perjalanan pulang ke Kedah, mata ini begitu asyik menikmati alam sekeliling. Suasana sunyi. Segera kepala ini dipalingkan, memerhati insan-insan lain di sekeliling. Ada yang sudah terlentok dibuai mimpi, ada yang sibuk berbual sesama sendiri, ada yang melamun.
Ya, lukisan yang dimaksudkan ialah alam ini sendiri. Pelukisnya Dia, Yang Maha Esa. Pernah tak terfikir, betapa hebatnya Allah, Dia ciptakan langit, di atas kepala kita. Teguh di atas, tanpa perlu ada apa-apa yang menyokongnya agar tak jatuh menimpa bumi. Angin yang bertiup, tak dapat kita lihat rupa fizikalnya, tapi cukup nyaman sekali bila ianya menyapa tubuh kita. Betapa telitinya Dia, menciptakan tumbuh-tumbuhan dan manusia/haiwan saling melengkapi. Oksigen yang dikeluarkan oleh tumbuh-tumbuhan digunakan oleh kita, dan karbon dioksida digunakan oleh tumbuh-tumbuhan untuk menjalani proses fotosintesis.
Matahari yang muncul pada waktu siang, Bulan yang datang menerangi malam yang kelam. Datang silih berganti, tak pernah terlewat. Diciptakan haiwan sebesar-besar haiwan dan diciptakan haiwan sekecil-kecil kuman.
Bayangkan kita menaiki kereta, dan mata kita dihidangkan pemandangan matahari terbenam. Apa yang terlintas di kepala? "Cantik." etc. Tapi pernahkah kita terdiam sebentar, memuji Allah, berzikir padanya kerana semua yang berada di sekeliling kita datang dari Dia. Bukan sesiapa yang lain.
Semua yang berada di sekeliling kita takkan kekal. Tak pernah kekal kecuali Allah, Allah seorang. Kita tahu benda tu, tapi kenapa kita masih bergantung pada sesuatu yang kita tahu lambat laun akan hilang, padam, pudar, mati, patah.
Setiap sesuatu yang berada di muka bumi ini umpama hadiah dari Dia yang Esa. Sahabat, keluarga, kepandaian, kecantikan, kekuatan, kekayaan, kemiskinan, setiap satu yang berada di sisi kita adalah hadiah. Hadiah yang secara jelasnya bukan datang dari kita pada asalnya. Pemberian orang dan secara logiknya, pemberian ini boleh diambil kembali oleh si pemberi bukan?
Bayangkan, si A, terlalu cintakan B, kononnya tak boleh hidup tanpa dia. Keesokannya si B, mati. Apa yang akan terjadi pada A? Bunuh diri, kekecewaan yang melampau. Macam mana nak capai kebahagiaan kalau kita sendiri yang ikat diri kita dengan tali kekecewaan? Macam mana kita tak sakit kalau kita sendiri yang cacakkan pisau tajam di dada kita sendiri? Macam mana kita tak lemas kalau kita sendiri yang tak mahu menyedut oksigen?
Semua masalah yang kita tengah hadapi sekarang, semuanya berpunca dari kita sendiri. Sebab kita letakkan kebergantungan kita pada sesuatu yang tak kekal, yang mudah patah, rapuh. Bayangkan kita sedang mendaki gunung, dan kita tergelincir, tangan kita pasti akan mencapai segala apa yang ada di depan mata, tapi hati kita... suruh kita capai ranting kayu.
Secara logiknya, ranting kayu takkan boleh menampung beban kita, tapi kita tetap berpaut padanya. Jadi, jangan salahkan si ranting kayu andai kita jatuh tersungkur menyembah bumi.
Hadiah yang Allah beri, seperti duit. Andai diletakkan di hati, kelak kita akan lupa diri. Kita jadikan duit itu tempat kebergantungan kita. Duit yang ada dalam simpanan kita, kita takkan pernah rasa cukup. Itulah permulaan kesengsaraan.
Sedar atau tidak, kita sebenarnya sudah banyak cuba mengubah benda-benda di dunia menjadi sesuatu yang bukan sepatutnya. Kita cuba ubah dunia yang tak kekal menjadi kekal. Kita jadikan dunia yang hanya tempat persinggahan menjadi destinasi terakhir kita.
Kita suka diberikan hadiah, tapi hadiah bukanlah penjamin kewujudan kita. Kita tak bergantung pada hadiah bukan? Kita bukan hidup untuk menerima hadiah dan kita takkan mati kalau kita tak menerima hadiah kan?
Cuma ada dua tempat untuk meletakkan hadiah yang di beri. Tangan dan hati. Hati kita ini, hanya milik Allah, bukan benda lain. Hadiah bukan diletakkan pada hati, tapi di tangan. Supaya bila hadiah itu diambil kembali, kehilangan/kesakitan hanya terasa di tangan, bukan di hati. Kesakitan di hati ialah kehilangan objek yang berkait rapat dengan kebergantungan dan ketagihan. Kesakitan yang satu ini bukan seperti kesakitan yang lain. Bukan seperti kesakitan yang biasa. Kesakitan itulah yang kita akan rasa bila kita hilang tempat/benda bergantung - hadiah/nikmat yang diletakkan pada tempat yang salah; hati.
Kesakitan di tangan juga sakit tapi lain. Sangat lain. Kehilangan sesuatu benda tapi bukan tempat kebergantungan, bukan ketagihan. Bila nikmat/hadiah diambil dari genggaman kita, kita akan rasa sakit yang normal. Kita akan bersedih, kita akan menangis, tapi kesedihan atau kesakitan itu hanya terkesan pada tangan bukan hati, hati kita masih berdegup dan masih kekal keseluruhannya. Sebab hati ini kita biarkan milik Allah.
and ALLAH alone.
Take a minute and look at the pictures above. Fikirkan balik apa yang telah dikatakan di atas. Reflect balik diri kita sendiri.
Sepatutnya kita perlu letakkan kebergantungan kita pada sesuatu yang kekal, kukuh. Bukan pada seorang insan yang lambat laun akan pergi menghadap Ilahi, bukan pada kekayaan yang boleh ditarik kembali nikmat tu, bukan pada kecantikan yang lambat laun akan pudar seiring dengan lanjutnya usia kita, bukan pada keseronokan di dunia, bukan dengan apa-apa pun. Tapi pada Dia yang Satu.
Ingatlah, bila di akhirat kelak, takkan ada seorang pun manusia yang boleh menolong kita melainkan Allah Yang Esa.
Wallahualam.
p/s : Maaf andai ada salah silap dalam tulisan kali ni. Semua kebaikan datangnya dari Dia, dan sebarang kecacatan semuanya berpunca dari diri ini sendiri, seorang manusia yang tak sempurna.


