اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ
That day, Naem whatsapp, kata he found something.. He took a picture and give it to me.. Huarghhhh. Tengok je gambar tu rasa nak jerit kuat2 je. HAHA. segan okay. It's a picture of the cover for my cerpen that I wrote when I was in Form 2. I remembered it was for Teacher's Day but unfortunately I was late to submit my short stories. So, with that.. I came up with an idea to improvise sikit2 the cerpen.. okay... maybe cliche, cerita too common, plot dapat agak.. But still.... bear in mind that this was a Form 2 students' work piece..
"Terima Kasih Cikgu"
Hingar bingar jelas kedengaran di halwa telingaku, satu bunyi yang sudah menjadi penghibur hatiku sepanjang aku bergelar seorang pelajar. Pagi itu juga seperti hari-hari yang biasa. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan itu sudah cukup untuk membuat tubuhku yang kecil ini menggeletar kesejukan. Ciap miap burung yang terbang bebas di angkasa mendamaikan jiwa. Ketenangan yang sedang aku nikmati diragut begitu sahaja apabila mataku menyedari kehadiran sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam. Berkerut dahiku memikirkan gerangan empunya kereta kerana setahu aku hanya Cikgu Syifa' yang memiliki kereta jenis itu di sekolah ini. Nombor plat yang terukir kemas di bahagian depan dan belakang kereta itu pun berlainan dari nombor plat Cikgu Syifa'.
Entah mengapa hatiku ditujah pelbagai persoalan yang mendorong aku untuk menapak ke arah kereta yang baru memasuki petak meletakkan kenderaan bersebelahan dengan taman sekolah. Berderau darahku sebaik sahaja insan yang memandu kereta itu menampakkan wajahnya. Ibu... perkataan itulah yang pertama sekali terlintas di fikiranku. Ah.. mustahil insan yang berdiri di hadapanku kini ialah ibu. Ibu yang melahirkanku dan insan itu jugalah yang sudah setahun meninggalkanku untuk menghadap Kekasihnya yang satu. Rindu mula menggamit jiwaku tatkala bibirnya menguntum senyuman. Terasa panas air yang mengalir perlahan dari tubir mataku. "Ibu... Ibu..." perlahan dan sayu sahaja panggilan itu meluncur dari bibirku. "Ibu.. Aina rindu ibu..." ujarku lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi. Pandangan mata kulabuhkan pada wajah di hadapanku ini seolah itu mampu membantuku melepaskan rindu yang terbuku di hati. Spontan aku memeluk tubuh itu, erat. "Kenapa ni?" soalnya lembut. Soalan darinya itu menyedarkan aku dari terus melayan perasaan. Pantas sahaja aku merungkai pelukan dan aku terus berlari tanpa menoleh lagi ke arahnya. Jari jemariku menyeka air mata yang masih lagi mengalir membasahi wajah.
Kejadian pagi tadi meninggalkan kesan yang amat mendalam pada diriku. Senyuman yang kebiasaannya menghiasi laman wajahku berganti dengan tangisan. Entah mengapa wajahnya yang sentiasa bermain di fikiran. Tersentak aku apabila melihat insan yang mengatur langkah penuh kesopanan menuju ke arah meja guru adalah dia. Hatiku semakin tidak keruan. "Semua bangun. Selamat tengahari Cikgu." Lantang suara Zainal memberi ucapan selamat. " Selamat tengahari semua. Kamu boleh duduk." Jawab dia tenang. Sedari tadi mataku tidak pernah lepas menatap wajah miliknya. "Saya cikgu baru kamu. Saya akan menggantikan Cikgu Junaidah yang baru sahaja melahirkan anak. Nama saya Cikgu Rohana. Saya akan mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk kelas kamu"terang dia lagi. Tanpa aku duga, aku mengukir senyuman padanya. "Kamu... yang duduk bersebelahan dengan pelajar cina itu. Mari ke hadapan? Saya nak cakap sesuatu." Katanya yang merujuk kepadaku. Degupan jantungku semakin lama semakin laju berdetak. Satu per satu langkah yang ku atur menuju kearahnya diiringi dengan pandangan daripada rakan-rakanku.
"Ya, saya cikgu." Kataku perlahan namun cukup jelas pada pendengarannya. "Sebentar ya?" ujarnya kepadaku sebelum membuang pandangan ke arah rakan-rakanku yang lain. "Pelajar lain, buat kerja sendiri sementara saya bercakap dengan dia ni" katanya sambil tangannya lembut berlabuh di bahuku. "Kamu yang peluk saya pagi tadi bukan? Boleh saya tahu kenapa?" soal dia lembut. "Urm.. saya.. saya..." entah mengapa lidahku kelu untuk menyusun kata. Jari runcingku bermain dengan renda yang menghiasi meja guru. Sesekali aku mencuri pandang ke wajahnya. Dia masih setia menunggu penjelasan atas kelakuanku pagi tadi namun tiada satu perkataan pun yang kedengaran. Jelas di pendengaranku helaan nafasnya, "Kenapa? Kamu tak perlu rasa segan dengan saya. Saya hanya mahu tahu. Tak lebih dari itu." Kata-katanya ku balas dengan anggukan.
"Nama kamu Aina ya? Baiklah.. Aina. Kamu panggil saya 'ibu' pagi tadi, kenapa ya?" soalnya seraya jemariku dicapai dan digenggamnya erat. "Sebab.. sebab.. muka cikgu.. umm.. muka cikgu macam.." setiap perkataan yang meluncur dari bibirku di sambut dengan senyuman manis di bibirnya. "Macam siapa, Aina? Macam ibu kamu?" soalnya lagi. Perlahan ku anggukkan kepala. "Macam ibu.. Aina rindu ibu. Rindu sangat-sangat." Sekali lagi mutiara jernih menitis dari tubir mataku. Entah kenapa air mataku murah sekali hari ini. Dari ekor mata, aku lihat dia turut sama mengesat air mata yang mula bertakung. Barangkali perkataan yang lahir dari bibirku menyentuh hatinya. "Macam inilah Aina. Balik nanti kamu balik dengan saya ya? Cikgu nak berkenalan dengan kamu" katanya. "Sekarang kamu boleh balik ke tempat duduk kamu." Aku menurut katanya sambil menyeka air mata.
Seperti yang telah dijanjikan, aku menunggu kedatangannya berdekatan dengan keretanya. Bibirku menguntum senyuman sebaik sahaja aku menangkap kelibat Cikgu Rohana berjalan menuju ke arahku. Terasa tenang hatiku apabila dapat melihat kembali wajah yang sering ku rindui dulu. Meski insan yang berada di hadapanku ini bukanlah insan yang sama yang dahulu sering membelai rambutku, namun bagiku ini sudah cukup bagiku untuk melepaskan rindu. "Mari Aina," ajaknya dan tanpa banyak bicara aku segera memboloskan diri ke dalam perut Proton Perdana itu. Sepanjang perjalanan hanya Cikgu Rohana yang petah berbicara sedangkan aku lebih selesa melayani perasaan dan berdiam diri. Terkadang aku tersenyum sendiri, terkadang aku mengesat air mata yang mula terbit di mataku. "Aina.. kamu tak apa-apa kan?" soalnya prihatin. Aku hanya membalas pertanyaannya dengan anggukan kepala.
Senyuman yang sedari tadi menghiasi wajah putih bersih Cikgu Rohana terus pudar sebaik sahaja keretanya berhenti di hadapan rumahku. Aku hanya tersenyum sebelum berkata, "Cikgu, silalah ke rumah saya. Maaflah, rumah saya sederhana sahaja. Silalah naik, saya mahu ambilkan air untuk cikgu." "Baiklah Aina." Jawab dia namun pandangan matanya masih tidak lepas memerhati keadaan rumahku. Sebuah rumah papan yang tidak banyak perhiasaan dalamannya. Cukup dengan hanya sebuah televisyen yang terletak betul-betul di bahagian tengah ruang tamu yang hanya sekangkang kera itu. Meskipun begitu, bahagian dalam rumah itu tetap tampak selesa dan bersih. "Iman, salam cikgu Kak Long cepat. Abah mana?" soalku kepada adik lelakiku yang sedang leka menonton televisyen. "Assalamualaikum Cikgu." ucap Iman penuh kesopanan sambil tangannya menghulur salam sebelum mencium tangan Cikgu Rohana.
"Kak Long, Abah pesan abah balik malam hari ini. Abah kena hantar barang ke Rembau." Petah mulut Iman bersuara. "Yelah, Iman dah makan?" Soalku lagi sambil melangkah menuju ke arah dapur. Buat sementara itu, Cikgu Rohana hanya menjadi pendengar bual bicara kami dua beradik. Sesekali terdengar rengekan si kecil yang sedang lena di buaian. Seolah mengerti, Cikgu Rohana bangun dan mengatur langkah ke arah buaian yang terdapat di satu sudut ruang tamu. Perlahan dia mengayunkan buaian itu. "Iman dah makan. Roti yang abah belikan semalam. Tapi Kak Long, Iman lapar lagi. Adik pun tak minum susu lagi. Iman tak pandai buat." Terang Iman lagi dalam kepeletannya. Tidak lama kemudian, aku muncul dengan tangan menatang dulang yang berisi dua gelas air masak.
"Maaflah Cikgu. Ini sahaja yang termampu saya beri." Ujarku perlahan diiringi dengan senyumanku yang meleret. "Iman, mari dekat dengan Kak Long." Ajakku. Segera Iman berlari mendapatkanku. "Tak apalah Aina. Kenapa tak bancuhkan susu adik kamu tu? Masuk angin nanti perut dia kalau tak menjamah susu seharian." Cikgu Rohana berkata tenang. "Iman, tolong kak Long. Ambilkan botol susu adik atas para tu." Arahku lagi. Iman segera menurut perintah. Tidak lama kemudian, Iman muncul dengan sebelah tangannya memegang sebotol penuh air masak. "Kenapa air kosong je?" soal Cikgu Rohana kehairanan. "Abah saya terlupa belikan susu. Susu adik dah habis. Terpaksalah saya beri apa yang ada je. Nak beri bubur pun beras baru habis semalam." Terangku lagi.
Terkedu Cikgu Rohana mendengar penjelasanku. Spontan dia mengeluarkan not RM 50 dan dihulurkan kepadaku. Serba salah aku untuk menyambutnya. Setelah di paksa dan di pujuk, dengan berat hati aku mengambil wang itu.
Sejak dari lawatan Cikgu Rohana kerumahku, hubungan kami berdua bertambah erat seperti hubungan seorang ibu dan anak. Dapat jugak aku menumpang kasih seorang ibu darinya. Iman serta adik kecilku, Lina juga sudah semakin serasi dengannya. Prestasiku yang dahulunya teruk semakin hari bertambah baik. Abah yang mengetahui bahawa kami tiga beradik sudah semakin rapat dengan Cikgu Rohana turut berasa gembira. Barangkali lega apabila mendapat tahu bahawa ada insan yang bisa menjaga kami jika seharian dia tiada di rumah. Iman pula sudah terbiasa memanggil Cikgu Rohana, mama. Sejak kematian ibuku, Iman tidak pernah bertanya kemana perginya ibu yang melahirkannya. Hatiku bertambah ilu apabila mengenang nasib Lina yang langsung tidak sempat menjamah susu ibu. Kini, kepada Cikgu Rohana lah tempat aku serta adik-adik menumpang kasih.
Apa yang paling menggembirakan aku ialah apabila hubungan abah dan Cikgu Rohana juga semakin intim. Sekurang-kurangnya merasalah Lina untuk menyebut perkataan 'mama' kelak. Pelajaranku bertambah baik. Peperiksaan Menengah Rendah semakin menghampiri dan pada saat itu juga Cikgu Rohana tidak pernah putus-putus memberi dorongan dan sokongan kepadaku. Hatiku gembira bukan kepalang apabila akhirnya apabila Abah mengambil keputusan untuk mengambil Cikgu Rohana untuk menjadi suri hidupnya sekali gus menjadi 'mama' baru buat kami bertiga. Kini hari-hari yang dilalui indah dengan hadirnya seorang insan baru yang bergelar mama.
Meski kini tempat ibu disisi Abah sudah berganti, namun ibu tetap punya tempat dalam hati kami. Hari dimana keputusan PMR diumumkan sudah pun tiba dan mama asyik memberi semangat kepadaku untuk menenangkan hatiku yang tidak tentu arah. Kata mama, "Kita dah berusaha sedaya upaya kita, sekarang kita hanya mampu bertawakal. Semua keputusan yang bakal Kak Long dapat nanti, Kak Long kena ingat. Itu yang terbaik untuk Kak Long. Allah yang tetapkan semua itu. Jadi tugas kita yang tinggal hanyalah, bersyukur dengan keputusan itu. Buruk atau baik keputusan itu, maka Kak Long kena ingatlah, mungkin Allah nak uji Kak Long." Lembut suara itu kedengaran di telinga dan perlahan nasihat itu meresap dalam hatiku.
"Aina Insyirah binti Hakim, 8A" bergema suara pengetua memanggil namaku. Ya Allah, bergetar jantungku. Alhamdulillah ya Allah, Alhamdulillah. Kanan dan kiri pipiku dikucup oleh mama, basah pipiku terkena air mata yang turut sama mengalir dari tubir mata mama.
Ya Allah, terima kasih ya Allah. Atas anugerah terindah ini. Terima kasih Mama. Terima kasih Cikgu Rohana.