اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ
Aku duduk sendiri di satu sudut. Aku perhatikan setiap
figura yang melepasi pandangan mataku. Mereka semua sibuk dengan hal
masing-masing. Aku terasa seperti halimunan kerna tiada siapa yang perasan akan
kewujudanku. Mereka semua melangkah pantas seolah ada yang mengejar mereka dan
mereka juga tidak menghiraukan alam sekeliling mereka. Betapa ada insan yang
memerlukan belas ihsan dari mereka. Kotak-kotak berselerakan di sebelah
kananku. Hujan yang turun membasahi bumi membuatkan aku terketar menggigil kesejukan.
Sungguh, sejuknya terasa hingga ke tulang hitam. Perutku berkeroncong pintakan
untuk diisi tapi apakan daya.
Tidak ada satu mata pun yang sudi menyinggahi ruangan
peribadi diri ini. Apa aku hina? Apa aku jijik untuk dipandang? Mana pergi
nilai perikemanusiaan mereka. Apa harta kebendaan telah membutakan mata mereka
hingga orang yang teraniaya dan insan yang serba kekurangan dibiarkan terus
jatuh dan menderita? Apa bahagiakah mereka menikmati hidangan mewah di kerusi
empuk dan selesa sedangkan ada insan nun di luar kehidupan sana hanya mampu
mengurangkan kelaparan dengan air paip sahaya? Apa lenakah tidur mereka
sedangkan ada insan di negara luar sana yang harus bersengkang mata kerana
peperangan akan berlaku bila-bila sahaja? Apa puaskah hati mereka menggunakan
wang untuk membeli barangan keinginan mereka sedangkan ada insan yang tak mampu
berbuat apa-apa walaupun untuk mencari sesuap nasi?
Ada yang kata aku pemalas tidak mencari kerja dan hanya
mengharapkan belas kasihan orang untuk meneruskan hidup. Apa mereka pernah
bertanya apa sebab musababnya aku disini, tidur berlapikkan kotak dan
berselimutkan angin? Apa mereka pernah kisah betapa perutku ini sudah diisi
dengan makanan walau hanya sekeping roti?
Aku tak pintakan simpati. Aku hanya ingin mereka sedar, Aku
juga manusia, sama seperti mereka. Apalah salahnya andai diringankan tangan
menghulurkan bantuan, walau hanya dengan senyuman.
-NAG